
MELAKA: Lima kawasan seluas 338 hektar di Melaka diisytiharkan sebagai zon bebas asap rokok mulai 15 Jun ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata, kawasan tersebut ialah bandar warisan dunia Melaka, Melaka Raya, Melaka International Trade Centre (MITC), pusat bandar Alor Gajah dan pusat bandar Jasin.
"Sesiapa yang didapati menghisap rokok di zon bebas asap rokok itu boleh dikenakan kompaun yang lazimnya sebanyak RM300 walaupun kompaun maksimum RM5,000," katanya selepas merasmikan sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia di Bandar Hilir di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Liow berkata, premis atau kawasan milik individu yang terdapat dalam lima kawasan tersebut dikecualikan daripada larangan tersebut.
Beliau berkata, Melaka adalah negeri pertama yang mewartakan kawasan yang luas sebagai zon bebas asap rokok yang menunjukkan kerajaan Melaka dan Kementerian Kesihatan adalah serius dalam melindungi orang ramai terutama wanita dan kanak-kanak daripada terdedah kepada asap rokok yang memberi kesan buruk kepada kesihatan.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mewartakan 21 tempat yang dilarang merokok seperti hospital, dalam kenderaan awam, institusi pendidikan, kompleks beli belah dan stadium, katanya.
Beliau berkata, tahun ini, kementeriannya melancarkan "perang" terhadap penyakit yang tidak berjangkit seperti diabetes, serangan jantung dan pelbagai jenis kanser, dimana tabiat merokok adalah faktor penting menyumbang kepada penyakit tersebut.
Katanya, pelaksanaan zon bebas asap rokok itu diharap dapat menarik lebih ramai pelancong ke Melaka yang inginkan udara yang segar tanpa asap rokok.
Mengulas nilai kompaun terhadap kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, Liow berkata, antara Januari dan April tahun ini, nilai kompaun yang dikeluarkan ialah hampir RM1 juta dan daripada jumlah itu, sebanyak RM756,988 telah dibayar. - BERNAMA
credit : Berita Harian
INFO: Zon Larangan Merokok Melaka
· Bandar Warisan Dunia - meliputi sekitar Bukit St. Paul yang menempatkan beberapa bangunan kerajaan, muzium, gereja, bangunan Stadthuys, Kota A’Farmosa dan persisiran Sungai Melaka. Kawasan perumahan dan komersil yang bersejarah serta bangunan keagamaan sepanjang Jalan Tun Tan Cheng Lock (Jalan Heren), Jalan Hang Jebat (Jonker Street), Jalan Tokong/Tukang Emas/Tukang Besi dan Jalan Kampung Pantai, Jalan Merdeka, Jalan Kota Laksamana, Jalan Ong Kim Wee, Jalan Tan Chang Yan, Jalan Munshi Abdullah, Kampung Banda Kaba dan Jalan Chan Koon Cheng.
· Melaka Raya - premis kedai, hotel, pusat beli belah termasuk Dataran Pahlawan dan Mahkota Parade.
· Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) - bangunan kerajaan seperti Wisma Persekutuan, Menara Persekutuan, Wisma Negeri, bangunan komersial dan perniagaan seperti Pusat Boling Antarabangsa Melaka, Kota Fesyen dan hotel.
credit : Laman Ilmu & Tips Belajar©
No comments:
Post a Comment