DR Aeslina menunjukkan batu bata yang diperbuat daripada puntung rokok. |
Projek penyelidikan memanfaatkan bahan buangan bagi kegunaan industri pembinaan sekali gus menyelamatkan alam sekitar itu diterajui penyelidik Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Dr Aeslina Abdul Kadir dan turut dijayakan Dr Abbas Mohajerani.
Ia turut mendapat kerjasama Royal Melbourne Institute of Technology, Australia; ButtOut Australia Pty Ltd dan Boral Bricks Pty Ltd yang menyediakan kemudahan penyelidikan selain membekal puntung rokok serta tanah liat.
Dr Aeslina berkata, selain lebih ringan, batu-bata dihasilkan dengan campuran puntung rokok lebih menjimatkan kerana ia mengurangkan penggunaan tenaga dan tidak mudah retak selepas dibakar dengan adanya komposisi serat mikro, Cellulose Acetate, yang terkandung dalam bahan buangan berkenaan.
“Puntung rokok antara bahan buangan paling banyak di dunia seperti dibuktikan menerusi kajian di Amerika Syarikat yang mengunjurkan peningkatan 20 peratus sampah itu menjelang 2015 dan Australia serta New Zealand yang mendapati ia adalah bahan buangan paling banyak dikumpulkan sejak 10 tahun lalu.
“Daripada terus membiarkan bahan kimia toksik dalam bahan buangan ini menjejaskan alam sekitar, kami mendapati komposisi serat mikro pada puntung rokok boleh dimanfaat sebagai penebat haba yang baik dan mengukuhkan daya ikatan bahan tanah bagi mengurangkan penggunaan tenaga dalam penghasilan batu-bata serta mengelak ia mudah retak selepas proses pembakaran
“Batu-bata dengan campuran puntung rokok sebagai bahan asas turut melepasi ujian piawaian batu-bata yang selamat digunakan untuk industri pembinaan termasuk aspek daya tahan struktur, haba dan air,” katanya ketika ditemui pada Pameran Reka Cipta, Teknologi dan Inovasi (ITEX) ke-22 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dr Aeslina berkata, langkah penghasilan sama dengan batu-bata berasaskan tanah liat iaitu membabitkan proses adunan dalam mesin penggiling, pengeringan dan pembakaran kecuali satu langkah tambahan pada peringkat permulaan iaitu puntung rokok melalui proses pembasmian kuman terlebih dulu sebelum dicampur dengan tanah liat.
Beliau berkata, batu-bata itu berpotensi digunakan untuk pembinaan rumah kos rendah dan landskap sebagai alternatif lestari kepada penggunaan batu-bata konvensional.
Projek penyelidikan yang kini dalam proses permohonan paten itu mendapat pingat perak pada ITEX ke-22