![]() |
A. THAIVEEGAN bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP Nordin Kadir menunjukkan kotak hadiah berisi sebahagian 10,642 pil ekstasi yang berjaya dirampas sewaktu sidang media di IPK Shah Alam, semalam |
SHAH ALAM 5 Okt. - Polis menahan seorang penjual barangan lusuh dan merampas 10,600 biji pil Eramin 5 bernilai kira-kira RM265,000 yang disembunyikan dalam dua bungkusan hadiah dalam dua serbuan di sekitar Ampang dekat sini, Ahad lalu.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, dalam serbuan pertama di Taman Muda, Ampang, pukul 1 petang, suspek berusia 52 tahun ditahan semasa membawa satu bungkusan hadiah bersaiz kecil yang mengandungi 1,000 biji pil Eramin 5.
Beliau berkata, hasil soal-siasat terhadap suspek membawa polis ke rumah sewanya di Taman Lembah Maju, Ampang dan menemui satu lagi bungkusan hadiah bersaiz sederhana mengandungi 9,600 biji pil Eramin 5.
"Kita juga menemui 42 biji lagi pil Eramin 5 di dalam kereta suspek yang dirampas semasa penahanannya di Taman Muda Ampang," katanya kepada pemberita di pusat media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Tambah Thaiveegan, pihaknya kini menyiasat kaitan suspek dan penglibatannya dengan sindiket pengedaran dadah.
Ujar beliau, lelaki itu kini ditahan reman hingga 9 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
CREDIT : Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment